Allah SWT berfirman;
"Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tua mu sedang kepada Ku engkau akan kembali" -
Surah Luqman Ayat 14 -

Rasulullah SAW bersabda;
"Ajarkanlah nasab-nasab kamu yang dapat kamu pergunakan untuk menyambung kekeluargaan kamu. Kerana perhubungan kekeluargaan adalah satu hal yang dicintai dalam keluarga, memperkembangkan harta dan memanjangkan jejak"
- Hadith riwayat Ahmad, Hakim & Thurmudzi -.

Allahyarham Yasir Ahmad (1901-1975) berpesan;
"
Setitik dakwat biar membantu,
Sepatah kata biar memandu
".


Mengambil pedoman dari firman, hadith dan kata-kata itu lahirlah Blogspot Warisan Yas yang diharap akan dapat menjadi salah satu wadah untuk mencerna keharmonian hidup berkeluarga, merapatkan hubungan silaturahim, berkongsi ilmu dan berinteraksi demi kebaikan bersama dalam usaha mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.



Monday 14 July 2008

MENAFKAH KEPADA IBU BAPA

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 215;

215] " Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: "Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan". Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).

[216] Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."


WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

WAJIB BERBUAT BAIK KEPADA IBU BAPA

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ahqaaf Ayat 15;

15] Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).


(Sumber; http://quran.al-islam.com/Targama/dispTargam.asp?l=Mal&t=mal&nType=1&nSora=46&nAya=15)


WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

BERBUATBAIKLAH KEPADA IBU BAPA

Firman Allah SWT dalam Al-Qur'an, Surah Luqman Ayat 14 & 15;
14] " Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

[15] Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau dengan fikiran sihatmu tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan."


WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

SAINTIS AKUI CARA TIDUR NABI MUHAMMAD BAIK UNTUK KESIHATAN

(Petikan Rencana oleh Mohd Roslan Md. Isa, BERITA HARIAN, Julai 15, 2008)

ORANG dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari.
Amalan tidur membantu untuk memberi keselesaan. Sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah.
Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.

“Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi)
Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.

Ibn Qaiyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Beliau berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur. Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.
Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.
Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar. Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah.
Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.
WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

UNTUK RENUNGAN BERSAMA; Jangan Kedekut Dengan Ilmu

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak boleh iri hati kecuali terhadap dua perkara iaitu terhadap seseorang yang dikurniakan oleh Allah harta kekayaan tapi dia memanfaatkannya untuk urusan kebenaran (kebaikan). Juga seseorang yang diberikan ilmu pengetahuan oleh Allah lalu dia memanfaatkannya (dengan kebenaran) serta mengajarkannya kepada orang lain.
(Sumber; http://hadith.al-islam.com/bayan/Display.asp?Lang=mal&ID=435)

WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

Tuesday 8 July 2008

UNTUK RENUNGAN BERSAMA; Perniagaan Yang Tidak Mengalami Kerugian

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian"
(Firman Allah SWT; Al-Qur;an; Faatir Surah 35 Ayat 29)

WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

Wednesday 2 July 2008

EKONOMI BAKAL GAWAT; 'Sediakan Payung Sebelum Hujan'



Saya tidak mahu dilihat bersifat pesimistik tentang masa depan tetapi saya terpaksa menerima realiti bahawa ciri-ciri
perkembangan semasa terkini mengunjurkan kearah bakal berlakunya kegawatan ekonomi dalam negara sapertimana yang pernah berlaku pada tahun-tahun 1970, 1986 dan 1997. Kenaikan mendadak harga minyak, tenaga letrik, barang-barang pengguna, krisis makanan, saham yang merudum serta krisis politik negara adalah antara tanda-tanda permulaannya.

Kegawatan ekonomi yang pernah berlaku pada tahun 1970 berpunca dari perang dua negara pengeluar minyak besar dunia, iaitu Iraq dan Iran, yang telah mencetuskan kenaikan harga minyak. Pada tahun 1986 pula berlaku kejatuhan harga komoditi saperti getah, kelapa sawit dan timah. Samentara pada tahun 1997 pula kegawatan ekonomi berpunca dari krisis matawang di Asia oleh spekulator dagangan masa depan matawang. Apa yang berlaku sekarang kenaikan harga sumber tenaga, iaitu minyak, bukan disebabkan faktor bekalan atau permintaan bahkan dari perdagangan masa depan minyak oleh spekulator di pasaran New York, London dan Singapura.

Walau apa pun sebab-penyebabnya bila berlaku kemelesetan ekonomi, permintaan keseluruhan pengguna akan menguncup, kos penyelenggaraan akan meningkat dan keuntungan perniagaan akan terhakis. Akibatnya hasil negara dari percukaian dan lain-lain akan terjejas dan berkuranganlah projek-projek yang dapat dilaksanakan oleh kerajaan mahupun pihak swasta.

Di masa lalu industri yang paling terjejas teruk ialah sektor perkilangan, elektronik, pembinaan harta, konstruksi, pelancongan & perhotelan, pengiklanan, konsultansi dan lain lain perkhidmatan. Bisnes yang bertahan ialah sektor makanan, khidmat kesihatan dan khidmat guaman, kerana dalam apa jua keadaan manusia perlu terus makan untuk hidup, ramai orang akan sakit dan kerja-kerja guaman dalam urusan tuntutan hutang, lelongan harta serta kes kebangkrapan akan bertambah.

Akibat dari kegawatan ekonomi banyak perniagaan dan kilang-kilang akan terpaksa mengecilkan operasinya atau terpaksa ditutup. Ramai pekerja akan mendapat tawaran potongan gaji, persaraan sukarela atau terpaksa diberhentikan terus. Pengangguran dan juga jenayah akan meningkat. Institusi kewangan pula akan mula membekukan kemudahan kredit atau menarik balik kemudahan pinjaman serta menaikkan faedah pinjaman. Aliran wang tunai di pasaran akan menjadi sempit. Pada waktu yang sama sesiapa yang punya banyak wang tunai di tangan akan meningkat 'kuasa membeli'nya oleh kerana banyak harta saperti gedung, bangunan, rumah, tanah dan saham akan terjual murah akibat lelongan sana sini.

Dalam menghadapi suasana gawat sedemikian seharusnya lah kita membuat persediaan dengan merancang serta mengolah strategi kehidupan mahupun perniagaan dalam menangani sebarang kemunkinan-kemunkinan itu.


Dari segi kehidupan peribadi antara tindakan yang boleh dilakukan ialah;
 ‘mencairkan’ sebarang ‘fixed asset’ atau harta tetap saperti rumah, tanah, emas atau saham, jadikannya kepada wang tunai dengan menjualnya samentara harga masih tinggi sekarang.
 simpan segala wang tunai yang ada kerana bila gawat faedah simpanan tetap akan lebih tinggi.
 tangguhkan sebarang pembelian barang mewah saperti kereta, peti sejuk, tv, sofa dan yang 'sewaktu' dengannya kerana bila gawat nanti harga barang-barang sedemikian bakal runtuh
 tangguhkan rancangan untuk melancong kerana tawaran pakej pelancongan akan menjadi murah semasa gawat
 buka sebanyak akaun bank yang boleh atas nama isteri atau anak-anak yang layak kerana sekiranya akaun anda sendiri dibekukan atas sebarang kemunkinan sebab gawat, anda akan masih ada akaun alternatif untuk urusan harian kewangan anda
 tingkatkan prestasi kerja serta membuat langkah-langkah yang boleh menjadikan anda berada dalam kategori terpenting kepada perniagaan majikan
 dan sebagainya


Kepada yang menguruskan perniagaan pula, antara tindakan-tindakan yang boleh dilakukan ialah;
 mengorak langkah berjimat cermat dalam mengurangkan kos operasi; sebagai misalan dalam sektor perhotelan, gunakan satu lif sahaja bilamana jualan dibawah 20 bilik, tempatkan pelanggan di aras terbawah, padamkan semua lampu di aras yang tiada penghuni, tiadakan suratkhabar, tiadakan sarapan komplimentari atau sebagainya,
 tingkatkan prodaktiviti dengan membuat 'reengineering' proses dalam sistem operasi; misalnya (dalam sektor perhotelan) tingkatkan nisbah pencuci/bilik daripada kebiasaan 1; 16 kepada 1;20.
 tangguhkan pembelian barang gantian kepada yang amat perlu sahaja
 tangguhkan sebarang rancangan pembesaran yang melibatkan modal tunai mahupun modal pinjaman
 kurangkan bajet kos perbelanjaan kecuali kepada bahagian yang melibatkan mendapatkan pelanggan dan jualan
 kategorikan pekerja kepada 4 kumpulan mengikut kepentingan perniagaan dan bukan mengikut pangkat; Kumpulan A – ‘pekerja terpenting’ di mana dengan ketiadaannya bisnes anda boleh tutup, Kumpulan B – ‘pekerja penting’ di mana ketiadaannya boleh menjejaskan perniagaan, Kumpulan C – ‘pekerja kurang penting’ di mana ketiadaannya hanya mengurangkan efisyensi organisasi, dan kumpulan D – ‘pekerja biasa’ di mana ketiadaannya tidak menjejaskan perniagaan. Dari pengkategorian sedemikian mudah nanti untuk anda membuat keputusan mengikut prioriti kepentngan perniagaan jika terpaksa melakukan proses pembuangan pekerja.
 galakkan jualan tunai sahaja dengan promosi diskaun yang menarik
 perketatkan jualan hutang dan tingkatkan usaha pungutan hutang yang sedia ada bagi mengelakkan hutang lapuk
 dan sebagainya


Pada hemat saya begitulah antara apa yang boleh kita lakukan sebagai persediaan dalam menghadapi kemunkinan berlakunya kegawatan ekonomi. WauAllahu a'lam.

WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia