Allah SWT berfirman;
"Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tua mu sedang kepada Ku engkau akan kembali" -
Surah Luqman Ayat 14 -

Rasulullah SAW bersabda;
"Ajarkanlah nasab-nasab kamu yang dapat kamu pergunakan untuk menyambung kekeluargaan kamu. Kerana perhubungan kekeluargaan adalah satu hal yang dicintai dalam keluarga, memperkembangkan harta dan memanjangkan jejak"
- Hadith riwayat Ahmad, Hakim & Thurmudzi -.

Allahyarham Yasir Ahmad (1901-1975) berpesan;
"
Setitik dakwat biar membantu,
Sepatah kata biar memandu
".


Mengambil pedoman dari firman, hadith dan kata-kata itu lahirlah Blogspot Warisan Yas yang diharap akan dapat menjadi salah satu wadah untuk mencerna keharmonian hidup berkeluarga, merapatkan hubungan silaturahim, berkongsi ilmu dan berinteraksi demi kebaikan bersama dalam usaha mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.



Friday 2 October 2009

PUNGGAHAN, PUNJUNGAN DAN RAYA 2009



Hari raya sememangnya hari yang sangat di tunggu-tunggu saban tahun oleh semua. Pada ketika itulah kita dapat bertemu ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai pada hari yang kebanyakkannya mereka sedang bercuti santai dalam mood serba ceria, bertanya khabar dan bermaafmaafan.

Raya kali ini agak lebih istimewa dari biasa buat ku oleh kerana ini merupakan raya pertama ku di kampung sejak berpindah ke Kampong Jawa, Panchor, Muar, Johor, pada Januari 17, 2009 yang lalu.

Kesibukan suasana raya di kampung bermula dari sebelum berpuasa lagi. Kali ini aku dapat meluangkan masa menyertai beberapa 'Khenduri Punggahan' yang diadakan sebelum bulan Ramadhan di merata rumah-rumah di kampung ku dan rasa sangat puas makan 'Berkat Ambeng' tahun ini. Khenduri Punggahan ialah khenduri tahlil dan doa selamat bagi mengingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia yang biasanya diamalkan oleh masyarakat orang Jawa sejak zaman berzaman.
Semasa bulan puasa kali ini pula aku dapat menyertai solat Terawih di Masjid An-nur yang aku rasa berbeza sungguh suasananya kalau dibandingkan dengan berterawih semasa tinggal di bandar Johor Bahru sebelum ini. Bezanya bila kita masuk saja ke masjid di kampung kita akan kenal hampir semua jemaah dan dapat bersalaman dengan semua yang hadir. Habis saja berterawih ada saja juadah berupa kueh-mueh dan minuman dihidangkan untuk para jemaah. Sambil menjamu hidangan kita dapat berbual-bual, bertegur sapa antara kita dan mengiratkan tali silaturahim antara penduduk. Di situlah terletaknya antara 'nikmat-nikmat' tinggal di kampung.

Pada petang sebelum raya pula rumah ku di hujani 'punjungan' dari jiran-jiran tetangga dan saudara terdekat. 'Punjungan' merupakan juadah makanan masakan untuk hari raya berupa ketupat, lodeh, sambal goreng dan rendang yang dihantar sesama kita yang melambangkan keiratan silaturahim dan budaya 'sama rasa' yang dipraktikkan oleh penduduk kampung. Dan bagi memastikan kesinambungan tradisi orang tua ku, pada pagi raya pertama aku dan isteri sempat meluangkan masa menghantar 'punjungan' makanan raya kepada jiran di depan rumah ku yang berbangsa Cina. Semangat 1Malaysia memang masih bertahan lama di kampung ku.

Menurut catatan ku seramai 276 tetamu telah menziarahi rumah ku dalam masa tiga hari pertama hari raya kali ini, saperti berikut;-

KEDATANGAN TETAMU RAYA
Hari Raya; Dewasa + Kanakkanak = Jumlah
- Pertama; 68 + 74 = 142
- Kedua; 37 + 22 = 59
- Ketiga; 46 + 29 = 75
------------------------------------------------
Jumlah 151 + 125 = 276
=====================================
Pada hari-hari berikutnya barulah kami sekeluarga dapat keluar berraya kerumah sanak saudara dan sahabat handai yang lain pula.

Begitulah hebatnya berraya di kampung. Itulah juga sebabnya kenapa sejak dari dulu lagi aku mahu pulang dan tinggal di kampung pada zaman tua ku kerana aku juga mahu anak cucu ku dapat merasa 'nikmat-nikmat' balik kampung berraya.

WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

No comments:

Post a Comment