Allah SWT berfirman;
"Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tua mu sedang kepada Ku engkau akan kembali" -
Surah Luqman Ayat 14 -

Rasulullah SAW bersabda;
"Ajarkanlah nasab-nasab kamu yang dapat kamu pergunakan untuk menyambung kekeluargaan kamu. Kerana perhubungan kekeluargaan adalah satu hal yang dicintai dalam keluarga, memperkembangkan harta dan memanjangkan jejak"
- Hadith riwayat Ahmad, Hakim & Thurmudzi -.

Allahyarham Yasir Ahmad (1901-1975) berpesan;
"
Setitik dakwat biar membantu,
Sepatah kata biar memandu
".


Mengambil pedoman dari firman, hadith dan kata-kata itu lahirlah Blogspot Warisan Yas yang diharap akan dapat menjadi salah satu wadah untuk mencerna keharmonian hidup berkeluarga, merapatkan hubungan silaturahim, berkongsi ilmu dan berinteraksi demi kebaikan bersama dalam usaha mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.



Monday 9 June 2008

MERANCANG KERJAYA ANAK PERLU BERMULA DARI PMR

Pada masa ini pastinya kebanyakan ibubapa kaum keluarga kita sedang sibuk menguruskan arah pembelajaran selanjutnya kepada anak-anak mereka selepas mengetahui keputusan SPM, dalam menentukan bidang pengajian serta universiti mana yang menjadi pilihan. Keputusan-keputusan yang dibuat waktu ini bakal menentukan bakal kerjaya anak-anak dan jalan kehidupan masa depan karier mereka untuk jangka masa hingga 30 tahun akan datang.

Dalam hal ini saya ingin berkongsi satu pengalaman yang munkin boleh diambil pedoman oleh para kaum keluarga. Pengalaman ini mengunjurkan bahawa perancangan karier sesaorang anak perlu bermula dari selepas mereka tamat pengajian di peringkat PMR lagi.

Anak kedua saya, Azreen Yas, bercita-cita untuk menjadi seorang peguam, tetapi saya dapat tahu tentang cita-citanya itu hanya selepas beliau mendapat keputusan SPMnya pada tahun 2000. Malangnya beliau yang sebelumnya telah memasuki Aliran Sains selepas PMR, tidak dibenarkan untuk memohon masuk ke jurusan undang-undang yang dicitacitakannya. Bahkan pihak Unit Pusat Universiti (UPU) secara jelas dalam Borang Permohonan Kemasukan ke IPTA & IPTS menyatakan mereka-mereka dari Aliran Sains tidak dibenarkan langsung untuk memilih Jurusan Undang-undang. Ini disebabkan dasar pendidikan pada waktu itu menjuruskan anak-anak Melayu yang dapat kesemua A dalam PMR secara otomatik terus dimasukkan ke aliran sains bila di tingkatan 4.

Pengajaran yang dapat dilihat di sini ialah aliran pelajaran anak saya di tingkatan 4 & 5 tidak selari dengan jurusan bidang cita-cita kerjaya yang diingininya. Rumusan yang saya dapat timba dari pengalaman ini ialah kita perlu merancang dengan memilih kerjaya yang dicitacitakan oleh anak-anak kita dari sejak waktu selepas peperiksaan PMR lagi. Langkah-langkah dan tindakan yang boleh dilakukan adalah saperti berikut;-

Langkah 1; MEMILIH KERJAYA ANAK-ANAK

Pada mulanya, ibubapa perlu berbincang dengan anak tentang mencarta matlamat citacita dan kerjaya pilihan anaknya sebaik saja mereka tamat PMR. Padankan kemampuan pembelajarannya dari keputusan peperiksaan PMR yang diperolehinya dengan bakal kerjaya yang bersesuaian dengan personaliti, jiwa, minat dan karektornya.

Sebagai ibu-bapa kitalah yang paling rapat dengan anak-anak. Sedikit sebanyak kita akan tahu personaliti dan perangai anak-anak kita dan secara kasar boleh mengagak jenis kerjaya yang macam mana yang sesuai untuk anak-anak itu. Misalnya sekiranya anak kita ini jenis seorang yang pendiam dan lebih suka duduk menyendiri di dalam bilik dengan komputernya, anak saperti ini bakal berjaya dalam karier sebagai akauntan, yang banyak masa kerjanya akan dihabiskan dalam pejabat sahaja. Itu pun sekiranya dia minat dengan matematik.

Sekiranya anak kita ini seorang yang peramah dan ramai kawan diluar sana tetapi malas 'study', anak saperti ini akan lebih berjaya dalam karier sebagai pengurus pemasaran atau usahawan, dan hanya perlu memilih jurusan perdagangan yang mana subjeknya, saperti Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Matematik dan Akaun Perdagangan, tidak memerlukan banyak study.

Dan sekiranya anak ini berminat dengan kerja-kerja teknikal atau bertukang dan suka keluar rumah, mereka akan lebih berjaya berkarier sebagai jurutera sivil, mekanikal, elektrikal atau elektronik dimana kerjanya memerlukan mereka untuk keluar berpanas di tapak projek di luar sana.

Perlu di ingatkan di sini peranan ibu-bapa hanya sekadar boleh membimbing dan membantu anaknya dalam memilih kerjaya yang sesuai dengan jiwa anaknya dan bukannya memilih kerjaya yang diimpikan oleh ibubapa itu sendiri. Janganlah kerana dulu kita hendak menjadi doktor tapi tak kesampaian maka sekarang kita 'memaksa' anak kita pula memilih bidang perubatan sedangkan anak itu takut dengan katak atau geli dengan lipas.

Hakikatnya orang yang punya jiwa personaliti yang sesuai dengan kerjayanya akan lebih berjaya meningkat dalam kariernya berbanding dengan mereka yang punya berlawanan minat dengan kerjanya.

Langkah 2; MEMILIH JURUSAN/BIDANG PENGAJIAN
Selepas anak kita memilih rangka kerjaya yang sesuai dengan personalitinya, barulah kita membimbing mereka untuk memilih jurusan atau bidang pengajian di IPTA/IPTS yang akan membawa mereka mencapai kerjaya yang dicitacitakan.

Di peringkat ini kita perlu meneliti subjek-subjek yang wajib lulus dengan kepujian dalam syarat kemasukan ke bidang berkenaan oleh UPU, dan pastikan subjek-subjek itu dipilih dalam matapelajaran semasa di Tingkatan 4 & 5. Misalnya sekiranya anak kita berminat untuk menjadi peguam ianya perlu masuk ke Aliran Sastera dan pastikan mengambil subjek-subjek Sejarah, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Metematik, Pendidikan Islam dan subjek elektif saperti Kesusateraan Inggeris dan Melayu.

Ketika inilah peranan ibubapa sangat-sangat diperlukan dalam memastikan anaknya dapat masuk ke aliran yang diinginkan kerana pihak sekolah biasanya akan 'memaksa' anak-anak melayu yang mendapat kesemua A dalam PMR dimasukkan terus ke Aliran Sains walaupun anak itu tidak punya minat dalam bidang sains. Pada saya anak yang cerdik mampu mendapat A dalam kesemua subjek-subjek bidang sastera, sains atau perdagangan di peringkat PMR, tetapi minat dan jiwanya mereka tidak mampu menampung kesemua bidang kehidupan.

Langkah 3; MENYEDIAKAN SOKONGAN PEMBELAJARAN

Setelah memilih kerjaya dan jurusan, ibubapa perlu juga menyediakan sokongan pembelajaran anak-anak di peringkat tingkatan 4 & 5 dengan menyediakan tuition serta buku-buku kerja tambahan terutamanya dalam subjek-subjek yang perlu wajib lulus dengan kepujian untuk memasuki jurusan yang dipilih di IPTA/IPTS nanti. Ketika ini lah ibubapa akan terpaksa mengorbankan banyak masa, tenaga dan wang ringgit supaya anak-anak mereka mendapat sepenuh sokongan persediaan dan sokongan fizikal dan moral untuk mencapai citacita masa depan anaknya.

Dari senario di atas kita boleh merumuskan bahawa merancang kerjaya anak-anak kita sebaikbaiknya dimulakan diperingkat peperiksaan PMR lagi. Selepas ibubapa berusaha dan bertindak sedaya kita, jangan lupa untuk memohon doa kepada Allah SWT agar anak-anak kita berjaya, cemerlang dan bahagia di dunia dan akhirat. Iringkan doa dengan bersolat sunat hajat serta berpuasa semasa anak-anak kita menghadapi ujian peperiksaannya. Dan juga jangan lupa buatlah solat sunat Istikharah bagi mendapat panduan dari Allah SWT semasa anak kita hendak memilih kerjaya dan jurusan atau bidang yang sesuai, kerana Allah SWT Maha Mengetahui tentang apa yang terbaik untuk masa depan anak kita, baik untuk diri, keluarga, bangsa, negara dan agamanya. InsyaAllah. wAllahua'lam.

(Sebagai catatan, walaupun pada mulanya anak saya Azreen Yas tidak dapat masuk ke jurusan undang-undang, tetapi, setelah saya berusaha melalui jalan lain yang terlalu panjang untuk diceritakan disini, dengan izin Allah SWT akhirnya beliau telah dapat mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang peguam. Syukur Alhamdulillah).

WARISAN YAS ....menjana kerukunan keluarga bahagia

No comments:

Post a Comment