Allah SWT berfirman;
"Bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua orang tua mu sedang kepada Ku engkau akan kembali" -
Surah Luqman Ayat 14 -

Rasulullah SAW bersabda;
"Ajarkanlah nasab-nasab kamu yang dapat kamu pergunakan untuk menyambung kekeluargaan kamu. Kerana perhubungan kekeluargaan adalah satu hal yang dicintai dalam keluarga, memperkembangkan harta dan memanjangkan jejak"
- Hadith riwayat Ahmad, Hakim & Thurmudzi -.

Allahyarham Yasir Ahmad (1901-1975) berpesan;
"
Setitik dakwat biar membantu,
Sepatah kata biar memandu
".


Mengambil pedoman dari firman, hadith dan kata-kata itu lahirlah Blogspot Warisan Yas yang diharap akan dapat menjadi salah satu wadah untuk mencerna keharmonian hidup berkeluarga, merapatkan hubungan silaturahim, berkongsi ilmu dan berinteraksi demi kebaikan bersama dalam usaha mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.



Monday 2 June 2008

1,094 ahli keluarga dan HARI KELUARGA MILENIUM?


Alhamdulillah. Mengikut rekod yang diberikan oleh (http://www.geni.com)%20geni/ Family Tree, sekarang ini terdapat 1,094 ahli keluarga yang telah terdaftar yang punya talian keluarga dengan saya. Catatan itu terhasil dari kerjasama dan sokongan semua ahli warisan. Kejayaan ini akan hanya memberi peransang kepada usaha kita untuk merapatkan lagi tali silaturahim antara ahli keluarga.


Sememangnya tidak semua warisan kita dapat mengambil bahagian dengan aktif dalam program GENI Family Tree (http://www.geni.com/) ini atas faktor teknikal, atau tidak punya email address, atau tidak jinak dengan teknologi internet. Walau bagaimana pun ini tidak bermakna mereka tidak berminat bahkan saya rasa kebanyakan mereka menjunjung sama minat dan semangat untuk menyokong apa saja program WARISAN YAS .... menjana kerukunan keluarga bahagia.


Mengimbas kembali program-program Warisan kita sebenarnya ia telah bermula sejak 24 tahun yang lalu, iaitu dari tahun 1984 lagi di mana kita telah mula mengadakan HARI KELUARGA yang pertama di Desaru, Johor, dengan penyertaan seramai 24 orang saja. Pada tahun-tahun berikutnya kita telah mengadakan HARI KELUARGA pada hampir setiap tahun sehinggalah tahun 1990 yang mana kita mengadakannya dua tahun sekali pula. Kali terakhir kita mengadakannya ialah HARI KELUARGA KE-10 di Hutan Lipur, Ayer Keroh, Melaka pada tahun 1996 di mana seramai 356 orang ahli keluarga telah menyertainya (Foto di atas).

Sejak hari itu penganjuran HARI KELUARGA YAS telah terhenti atas sebab kegawatan ekonomi yang berlaku pada tahun 1997. Tidak ramai yang mengetahui bahawa penganjuran HARI KELUARGA YAS melibatkan perbelanjaan sekitar RM12,000 pada waktu itu, yang merangkumi perbelanjaan penginapan, makanan dan pakaian.
Sememangnya HARI KELUARGA yang kita anjurkan adalah luarbiasa dan bukan sekadar perjumpaan ahli keluarga dalam satu majlis khenduri. Acara Hari Keluarga kita melibatkan seramai lebih 350 orang ahli keluarga berkampung buat selama 3 hari 2 malam di satu tempat peranginan saperti pernah kita adakan di Jason Bay, Desaru, Port Dickson, Pantai Cherating dan Ayer Keroh. Di situ kita adakan majlis tahlil, ceramah agama, sukan keluarga, kem motivasi, sudut niaga, hadiah pelajaran dan riadah keluarga, dimana setiap ahli keluarga dari satu famili senghaja dipisahkan kepada empat kumpulan mengikut warna-warna merah (harmoni), biru (abadi), kuning (damai) dan hijau (bahagia), supaya mereka dapat berinteraksi dan mengenali kaum keluarga yang lain.
Secara peribadi saya masih menyimpan satu impian agar kita dapat menganjurkan semula HARI KELUARGA saperti yang kita pernah adakan dulu, munkin dengan pendekatan dan pengacaraan baru mengikut kesesuaian peredaran masa. Dalam impian itu terdapat kira-kira 1,000 ahli keluarga kecil dan besar, tua dan muda, berkumpul selama 3 hari 2 malam di sebuah pusat peranginan (theme park) saperti A Famosa (Ayer Keroh) atau di Eagle Ranch (Port Dickson). Selain acara-acara dulu yang pernah kita adakan, kita tambahkan dengan majlis ilmu serta pertandingan melukis dan karaoke. Alangkah seronoknya suasana sedemikian disamping dapat bersua muka dengan sanak saudara dalam keadaan santai dan bebas dari gangguan kerja.
Hakikatnya impian itu masih tinggal impian oleh kerana penyeliaannya melibatkan banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang sukar ditanggung oleh mana-mana seorang individu.
Dalam ruangan blog ini saya ingin melontarkan satu ide. Apa kata kita tubuhkan satu jawatankuasa penganjur terdiri dari anak-anak generasi muda keluarga kita untuk merangka pelan penganjuran Hari Keluarga dimana setiap famili yang berminat dikenakan bayaran bagi membiayai kos acara-acara, penginapan dan makanan?. Pandangan dan respon dari ahli keluarga semua sangat-sangat dihargai.

No comments:

Post a Comment